Monday 4 March 2013

Bab 7 (cinta ais krim vanilla)


Bab 7

Dup dap dup dap jantungku bergedup kencang tanpa mampuku kawal degupannya. Degupan ini terlampau kencang sampai terlanggar dinding dadaku. Alahai…jantung oh jantung, sihatkah engkau hari ni atau adakah engkau terlebih aktif sampaikan dinding dada pun engkau langgar?

“Raihan.”

Haah. Tu dia “jantung” yang sebenar dah sampai. Disebabkan “jantung” tu jugaklah jantungku jadi tak keruan. Eh? Kenapa banyak sangat jantung yang keluar dalam kepala aku ni? Pusing pulak kepala aku. Haah...sudah! Kepala pulak dah keluar.

“Hamboi, Raihan. Ehem-ehem?” Allan tersengih memandangku. Pura-pura berdehem lak tu. Eleh, aku faham sangat usikan tu Allan.

“Ready nak keluar lunch? Sekarang dah waktu rehatkan?” soal Aryan apabila melihat aku masih lagi kaku macam tiang lampu. Tak bergerak walau seinci pun sama macam patung yang berderet dekat Mall. Masih jugak mengeras di tempat aku berdiri macam tiang lampu isyarat. Langsung tak ada perubahan sebijik macam dinding salon Allan.

“A’ah, sekarang lunch time. Malah dah 15 minit dah berlalu. You’re late.”

Eceh? Allan pulak yang tolong jawab. Nampak gayanya mulut Allan terlebih petah pulak bercakap hari ni. Hebat! Ada perubahan positif nampaknya!

Aryan tersenyum manis. Yup, manis sangat-sangat! Nasib baik tak ada semut yang datang. Kalau tak naya jugaklah Aryan tu.

Tinggg! Eh? Ada pelanggan?

Gurlp! Tiba-tiba aku tersedak air liur apabila wajah Shazlan terjengul. Haa…tu dia dua jejaka datang sekali gus. Satunya pakwe yang aku terima secara tak sengaja manakala yang satu lagi tu bekas pakwe yang hanya tinggal kenangan.

“Raihan? You dah lunch ke?” tanya Shazlan tanpa mempedulikan kehadiran Aryan.

Ish…sibuk je nak tanya. Kalau aku belum lunch kenapa? Dia nak belanja ke? Banyak sangat ke duit tu hari-hari nak belanja aku? Sekarang kerja CEO syarikat terkenal ke?

“Raihan belum lunch dan hari ni dia akan keluar lunch dengan aku.” 

Aiseh, Aryan pun nak jadi jurucakap aku? Tadi Allan, sekarang Aryan pulak dah?

“Oh, ye ke?” balas Shazlan pendek sebelum menumpahkan pandangannya ke arah Aryan. Aduh, tiba-tiba aku terasa aura yang cukup-cukup panas mengeliling mereka berdua. Kenapa ekk?

“Errr….Aryan, jom? Raihan lapar.” Akhirnya keluar jugak suara emas aku bagi memecah kesunyian yang entah siapa mengundangnya datang. Aryan menoleh ke arahku sambil tersenyum manakala Shazlan yang berada di sisinya pula berwajah kelat.

Eh, lantak dialah. Muka dia nak kelat ke, payau ke, lemau ke, masin ke ataupun masam, aku dah tak peduli. Aku lebih rela memilih untuk keluar bersama Aryan daripada keluar dengan Shazlan kerana setiap detik yang aku luangkan bersama dia hanya akan diisi dengan kenangan silam yang menyakitkan jiwa raga.

Perlahan-lahan aku menapak ke arah Aryan dan langsung tidak memandang mahupun terpandangkan Shazlan yang sedang berdiri tegak di sebelah Aryan.

“Raihan nak makan apa hari ni?” soal Aryan lembut setelah aku semakin mendekat. Belum pun sempat aku menjawab, tiba-tiba Shazlan menjadi jurucakap aku yang ketiga.

“Dia suka makan Nasi Goreng Ikan Masin. Minumnya pula Carrot Susu.” Serta-merta aku menghadiahkan sebuah jelingan khas untuk Shazlan. Memang sah dasar penyibuk. Aryan tanya aku bukan tanya kau.

Senyuman yang tadinya terukir indah di wajah tampan Aryan kini semakin kendur. Allan pula sudah memberikan isyarat kepada aku untuk mengajak Aryan pergi dari situ sebelum ada sebarang kejadian yang tak diingini berlaku. Tambahan pula Shazlan memang agak baran orangnya. Aryan pulak mungkin hanya seorang lelaki biasa yang mempunyai ego normal bagi kaum adam namun jika dibiarkan, sampai ke sudah aku tak makan.

Nak tak nak aku heret je Aryan keluar meninggalkan Shazlan yang masih lagi mengiringi langkah kami dengan pandangan matanya.

“Hari ni Raihan nak makan nasi campur. Jom pergi kedai hujung sana. Damia pernah cakap masakan kat kedai tu marvellous.”

Beria-ria aku menceriakan muka kelabu Aryan. Huish…kalaulah aku boleh conteng muka Aryan tu guna Caryon, nak je aku conteng. Kasi colour sikit. Warna-warni macam pelangi. Haa…barulah nampak ceria.

Aryan masih lagi membisu walaupun pada hakikatnya dia boleh berkata-kata sama seperti aku. Tapi, tak kisahlah kalau dia nak membisu sekalipun. Apa yang penting aku kena penuhkan perut aku yang sedang kosong sekarang ni. Berkeroncong hebat pulak tu. Malah makin lama makin rancak. Aku kena bisukan dulu bunyi-bunyi keroncong perut ini.

“Raihan, Aryan akan jaga Raihan sampai bila-bila. Aryan akan gunakan peluang yang Raihan bagi ni. Aryan tak kan sia-siakan Raihan. Itu janji Aryan.”

Uhuk! Hampir saja aku tercekik tulang ikan apabila mendengarkan ayat yang diucapkan oleh Aryan. Yelah, tak pasal-pasal bersuara. Tadi bukan main senyap! Sebenarnya aku lebih kepada terkejut. Tengah dok syok makan, tiba-tiba ada suara garau berkumandang memecah keheningan dan kedamaian aku meratah ikan masak merah yang sedap ni.

Tapi dengan seberapa tenang yang boleh, aku pamerkan wajah biasa. Seolah-olah aku bersedia menghadapi segala kemungkinan. Padahal baru sebentar tadi aku hampir melatah. Ish…malunya aku kalau tak boleh cover terkejut tadi tu. Hahaha…

“Aryan…” ujarku perlahan. Hanya itu yang aku mampu. Aku sebenarnya didera oleh rasa bersalah. Aku terima dia sebagai insan istimewa secara tak sengaja. Semua tu berlaku disebabkan oleh kesalahfahaman. Tapi adalah mustahil bagi aku untuk membentangkan sebuah kenyataan yang sudah pastinya nanti akan melukakan hati Aryan. Dia seorang lelaki yang baik. Ya, cukup baik walaupun pada awal perkenalan tiada yang baik mengenainya.

Perasaan? Entahlah…aku tidak pasti apa perasaan aku terhadap lelaki yang sedang duduk dihadapanku ini. Sungguh, aku berasa berdebar setiap kali berhadapan dengannya tapi aku tidak pasti apakah makna debaran itu. Sukakah aku pada seorang lelaki yang diberi nama Mohammad Aryan Arqam? Adakah ukiran nama itu wujud di dalam hatiku? Aku sendiri pun tak tahu.

“Aryan…can I call you Ayie?” tanpa disangka itulah ayat yang aku luahkan. Aku sendiri pun tak sangka di mana aku mendapat kekuatan untuk menyusun patah-patah perkataan lalu menyusunnya menjadi ayat. Tapi, tak salah kalau aku bagi peluang kan? Itu lebih baik daripada menghancurkan perasaan dia. Well, belum cuba belum tahu. Manalah tahu kot-kot dalam seminit dua lagi akan terbit rasa yang sama untuk lelaki itu. Hehehe… seminit dua? Hmm… tak logik sungguh.

Ayie…nama manja yang menjadi panggilannya dalam keluarga. Hari tu aku pernah dengar adiknya memanggil Aryan dengan panggilan tu dan sesungguhnya aku menyukai nama tersebut. Kedengaran macam betul-betul manja.

 Aryan tersenyum. Nampak dengan jelas sinar kebahagiaan terpancar pada seraut wajah itu. Ya Allah, betapa bersalahnya aku sekiranya sinar kebahagiaan itu aku hancurkan.

“Of course, Nuraihan Marzuki. Kalau nak tambah abang kat depan tu pun elok gak. Barulah sedap sikit bunyinye.”

Aiyoyo, tak pasal-pasal muka aku terasa panas. Terasa malu pun ada gak. Apelah Aryan ni. Melebih-lebih pulak. Orang bagi betis dia nak peha. Orang bagi rumah teres sekilo dia nak rumah banglo dua tingkat.Tak bersyukur langsung.

“Hahaha…just kidding, dear. Janganlah malu. Tu merah dah muka tu.” alahai, dia tegur muka aku merahlah pulak. Makinlah malu aku jadinya! Makin lama makin tunduk pulak kepala aku ni. Kang tak pasal-pasal dah tegolek kat lantai. Haah, kan dah jadi kes naya kalau gitu?

“Raihan, kenapa senyap ni? Malu lagi ke?”

Hadoi, sudahlah tu Aryan. Janganlah tanya macam-macam kalau kau tak nak aku senyap. Dah gaharu cendana pula, dah tahu bertanya pula. Eeee…kura-kura dalam perahu sungguhlah Aryan ni.

“Raihan…Ooo Raihan?”

Kedengaran suara Aryan masih lagi mencemarkan pendengaranku. Dia ni memang sengaja nak mengusik aku nampaknya. Eh? Aku ni pun satu gak. Apesal senyap? Apesal tiba-tiba boleh malu tahap maksimum pulak ni? Ni haaa…muka ni kenapa nak merah waktu ni? Tak boleh ke tangguh esok ke lusa?

“Aryan Arqam!” jeritku tanpa kawalan. Seketika kemudian baru aku tersedar suara aku dah melebihi had yang ditetapkan. Semua mata memandang aku seolah-olah aku baru saja membuat satu pertunjukan yang cukup menghiburkan. Ya Allah, malunya! Mana aku nak sorok muka ni?

Kelihatan Aryan tersengih sambil memandang aku. Hek eleh, tersengih pulak? Tak tahu ke aku tengah malu ni? Demi mengelak daripada menjadi bahan tontonan lebih lama, dengan kadar yang segera aku mula mengatur langkah keluar dari kedai. Terasa ada air jernih mengalir membasahi tubir mata sebelum setitis demi setitis jatuh membasahi pipi.

Laungan Aryan memanggil namaku sudah tidak aku pedulikan. Eh? Kenapa aku tiba-tiba jadi terlebih emosi pulak ni? Apa kena dengan aku ni? Ahh…biarlah! Nanti pun aku boleh siasat apa yang tak kena dengan aku. Manalah tahu ada wayar putus ke apa kan?

Tiba-tiba lenganku diraih pantas oleh seseorang. Tak payahlah aku nak nyatakan siapa orangnya, sudah semestinya Aryan Arqam. Langkah kaki langsung terhenti sebaik saja genggamannya semakin kejap.

“Raihan, look at me. I’m sorry.” Sayu suaranya kedengaran. Namun aku masih lagi tidak mahu memandang wajah Aryan. Arghh…situasi ini semacam pernah aku alami. Namun masa tu Izz yang berada di sisi aku. Entahlah…kalau aku malu mesti dengan senang dan tanpa paksaan air mata ni akan mengalir sendiri. Kalau dulu aku malu sebab jatuh terduduk macam nangka busuk, Izz yang memujuk aku. Tapi sekarang? Izz tak ada.

“Raihan…”suara sayu milik Aryan membuatkan hatiku yang keras macam batu jadi sedikit lembut macam kerak nasi. Perlahan-lahan Aryan memusingkan badan aku supaya menghadapnya. Aku tertunduk setunduk-tunduknya.

Tanpa amaran dan tanpa disangka Aryan mengesat air jernih yang mencemar duli membasahkan pipi aku.
“Sorry, sayang. Ayie janji tak kan usik Raihan lebih-lebih lagi dah.” Lembut saja tutur katanya. Alunan suaranya cukup merdu di telingaku. Gegendang telingaku ibarat dipukul lembut oleh suara itu.

“Tak sangka Raihan boleh tiba-tiba lari macam tu.” ujarnya lagi. Jiwaku seakan-akan dibuai oleh satu perasaan yang sukar untuk aku jelaskan. Terasa ada getar yang mengalir dalam sanubariku. Argh! Tak semena-mena aku jadi jiwang pulak.

Genggaman kejap Aryan sudah semakin longgar. Perasaan malu aku juga sudah semakin menjauh. Sungguh, dia begitu pandai membuatkan aku tenang semula. Ajaib tak? Hanya dengan kata-kata dan alunan suara yang begitu indah berlagu dan yang paling penting tanpa adanya ais krim Vanilla kegemaranku! Ohh…lihatlah dunia! Betapa hebatnya kuasa cinta!

Eh, cinta? Aku bicara soalnya cinta? Betulkah apa yang aku rasakan ni adalah kerana cinta? Tak mungkin! Baru je sebentar tadi aku masih keliru dengan perasaan aku terhadap mamat ni. Tak kan sekarang aku dah mencintai dia?

“Raihan…” mendengarkan namaku yang disebut lembut oleh Aryan, menyebabkan aku mengalihkan pandanganku ke arahnya.

“Raihan comel.” Ujarnya sambil tersenyum. Matanya memandang tepat ke mataku. Seolah-olah tembus mata aku ni dipandangnya.

“Dah lah tu! Malulah…” itulah ayat pertama yang aku ucapkan selepas aku berasa tenang. Kedengaran gelak kecil milik Aryan tercetus tanpaku duga.

Amboi, suka pulak bila aku kata aku malu. Kelakar sangat ke? Kalau ye, ape yang kelakarnya? Aku pun nak tahu jugak. Aku pun nak gelak jugak. Janganlah gelak sorang. Ajaklah aku join sekali. Hehehe…mula dah tu aku merapu.

“Yelah, bidadariku. Meh Ayie hantar ke salon. Dah lebih 10 minit ni. Nanti tak pasal-pasal Allan melenting. Aku tersenyum apabila nama Allan disebut. Sepanjang aku bekerja di bawahnya, belum pernah sekali pun aku lihat gunung berapinya meletup. Malah tak pernah ada asap mahupun debu yang dimuntahkannya. Apatah lagi lahar panas yang mampu meleburkan segala-gala.

Allan langsung tak pernah memasamkan mukan. Mungkin kerana itulah raut wajahnya kelihatan lebih muda dari usia. Lelaki cina itu begitu segak, bijak bergaya malah terserlah ciri-ciri maskulinnya meskipun bidang yang diceburi lebih banyak dimonopoli oleh wanita namun bagi aku, lelaki lebih mudah untuk mencipta nama dalam bidang ini.

Perjalanan ke salon hanya memakan masa 5 minit sahaja memandangkan kami hanya pergi ke kedai makan hujung yang berada di seberang salon. Sebaik sahaja aku melangkah kaki ke salon, tak semena-mena aku menjadi kaku lagi. Aryan yang berada di belakangku hampir saja terdorong badanku sekiranya kaki panjang miliknya tidak sempat berhenti menyusun melangkah.

Kelihatan Shazlan duduk dengan penuh ego di hadapan cermin sambil memandang ke arahku. Apa masalah lelaki ni? Kenapa dia masih di sini?

“Raihan, uruskan mamat tu. Dia nak you yang syampoo.” Bisik Allan perlahan. Hek eleh, mengada-ngada sungguh! Macamlah Allan tak boleh syampoo. Kenapa mesti tunggu aku? Tu…Aini pun boleh tolong syampoo. Aini lebih lama jadi syampoo girl berbanding aku. Ish, memang sengaja nak menyakitkan jiwa aku!

Air muka Aryan mula berubah lagi. Nampak gayanya makan hati berulam jantunglah Aryan hari ni. Aku pulak ada tugas yang menanti. Meskipun aku tak rela tapi aku terpaksa. Aku hanya memandang Aryan mengharapkan pengertian dan sesungguhnya Aryan memahami situasi aku pada ketika dan saat itu.

“Pergilah laksanakan tugas Raihan. Tapi ingat, jangan nak nakal-nakal.” Ujar Aryan sambil mencuit hidung aku. Aiseh…terkejut aku dibuatnya. Ni mesti kes sengaja nak buat yang seorang lagi tu panas punggung.

“Bye, Sayang. Ayie balik dulu.” Sebuah senyuman paling indah, malah cukup manis dan secukup rasa aku persembahkan untuk Aryan. Terasa dunia ini aku yang punya dan ya, kali ini aku yakin. Apa yang sedang aku rasakan kini adalah kerana hadirnya cinta dalam hati aku untuk lelaki itu. Tapi senyuman aku serta-merta hilang apabila terpaksa berhadapan dengan Shazlan.

Shazlan…semakin hari semakin parah pulak engkau nak dekati aku. Kenapa mesti sekarang? Kenapa tidak dari dulu? Sebelum Ayie muncul dalam hidup aku, kenapa bukan waktu tu engkau menjelmakan diri macam sekarang ni? Dulu kau menghilang tanpa jejak, dan sekarang engkau datang tanpa diajak.

Alahai Shazlan…kenapa harus sekarang? Sesungguhnya sekarang ni hati dan jiwa aku tertutup rapat untuk engkau. Perasaan aku juga telah berubah. Aku bukan seperti dahulu. Aku kini semakin menginjak dewasa. Engkau pun sama jugak.

Kenapa mesti aku yang kau buru? Bukankah dulu engkau abaikan perasaan aku demi Effa? Mana budak tu?  Bukankah dulu dia yang kau puja selepas kau bosan bersama aku? Argh…aku tak salahkan kau. Masa tu kita sama-sama mentah tapi sengaja mahu menggatal untuk kenal apa tu cinta. Maklumlah, cinta monyet.

Walau apa pun, aku berikrar untuk setia kepada Aryan. Kini, Aryan adalah pengganti yang sah. Ukiran nama Shazlan sudah lama terkubur. Tiada sisa mahupun kesan yang tinggal. Kepada Aryan Arqam, akan ku hargai kasih yang kau alirkan untukku. Percayalah…

Oh tidak! Aku semakin tenggelam dalam dunia jiwang! Apa sudah jadi ni? Tolong!!!