Thursday 19 December 2013

Bab 11 (Cinta Ais Krim Vanilla)

BAB 11

Kepalaku berpinar. Pandanganku berpusing laju. Peritnya hanya aku yang menanggung. 

Air mataku juga mengalir laju. Luka dihati semakin dalam malah semakin parah.

“Penipu!” Sekali lagi rasa perit itu menjalar. Aku tidak mampu melawan tenaganya. Sakit…

“Raihan tak tipu…”

“Kau ingat aku buta ke?”

“Semua tu kebetulan…”

“Alasan!”

Aku terdiam. Hanya senduku yang kedengaran.

“Kau ingat aku diam kau boleh pijak kepala aku ke, hah?!” jerkahnya lagi sambil memegang kedua-dua belah bahuku dengan kuat; memaksa aku memandangnya.

“Tak… Raihan tak tipu… Raihan betul sayangkan Ayie…”

Diam seketika. Tiada sebarang jawaban dari bibirnya.

“Habis tu kenapa tak balik terus tadi tu? Tunggu dia ke?”

“Tak… Raihan memang nak balik tapi dia halang…”

“Aku masih tak percaya! Cerita kau tu dah sama macam cerita dalam tv!”

“Betul… Raihan tak bohong.”

“Kalau betul kau sayangkan aku, lebih baik kau buktikan sekarang.”

Tiba-tiba dia merangkul tubuhku. Aku terkedu. Apa yang Aryan maksudkan dengan bukti?

Tudung ungu yang membaluti kepalaku dilucutkannya selamba. Hembusan panas nafasnya terasa dekat di leher.

Tidak! Adakah bukti ini yang Aryan maksudkan? Tidak! Aku tak akan merelakannya! Air mata semakin deras mengalir. Esakan ku semakin kuat kedengaran.

Aku mesti lepaskan diri. Aku mesti lari dari Aryan. Aryan sudah dirasuk syaitan! Segera aku meronta deras dengan harapan rangkulan lengan sasanya mampu dilonggarkan tapi hanya kesakitan yang aku terima kerana nyata rangkulannya semakin erat.

“Syhhh…jangan nangis sayang. Bagi bukti yang Ayie nak, lepas tu Ayie tak kan ragukan kesetiaan Raihan sebab Ayie tahu lepas dapat bukti ni Raihan tak kan tinggalkan Ayie…”

Gila! Aku tak rela. Tubuh dijadikan bukti dalam sebuah hubungan cinta? Argh! Tak masuk akal. Aku tak nak! Aku tak rela!

Dupp! Aku terjatuh di atas lantai. Serta-merta Aryan menerkam ke arahku seperti singa lapar. Sedikit demi sedikit bajuku dicariknya sehingga menampakkan bahagian dadaku. Aku meraung namun hanya tamparan dan tumbukan yang aku terima.

Tenaga hawaku tidak mampu menandingi tenaga adamnya. Adakah hari ini merupakan hari terakhirku bergelar dara? Adakah hari ini aku akan kehilangan mahkota yang telah sekian lama aku jaga? Tidak! Aku tidak sanggup kehilangan semuanya tanpa rela. Aku tak ingin!

Sedaya upaya aku menolak tubuh sasa Aryan yang menindihku. Berat! Tangisan dan jeritanku umpama muzik indah buat Aryan. Langsung hilang sifat perikemanusiaan yang selama ini tertanam di dalam dirinya.

Bibirnya sudah beberapa kali mencumbui bibirku. Tidak! Aku tak mahu. Tuhan, tolonglah aku! Semakin kuat aku meronta, menjerit dan menangis semakin kuat tumbukan dan tamparan yang diterima. Aku semakin lemah. Pandangan mataku semakin kabur. Semakin kelam dan gelap.

BAM!!! Kedengaran bunyi pintu dihempas kuat. Serta-merta rasa berat tubuh Aryan yang sedang menindihku hilang dalam sekelip mata.

“Kurang ajar!” ujar satu suara. Aku kenal suara itu. Oh tuhan, terima kasih kerana datangkan aku penyelamat daripada terus menjadi mangsa.

“Raihan! Kau okay? Raihan!”

Suara itu pun aku kenal. Mia…tolong aku. Aku sakit.

“Raihan! Raihan!”

Bertalu-talu namaku diseru tapi maaf Damia, aku letih… Aku tak mampu nak menyahut. Seluruh tubuhku terasa sakit, Mia…

Siling yang putih bersih menjadi tatapanku sebaik saja aku sedar. Senyap dan sunyi. Hanya kedengaran bunyi kipas yang sedang berpusing laju.

“Raihan, syukurlah kau dah sedar.” ujar Damia senang. Aku memandang wajah Damia yang sedang tersenyum. Ah, senyumannya kelat!

“Mana Ayie?” hanya itu yang ingin aku tahu. Dimanakah keberadaan lelaki itu? Adakah dia masih di sini? Tidak! Aku mahu dia berada jauh. Aku tak mahu dia dekat dengan ku. Tanpa disangka setitik dua air mataku mengalir lagi.

“Syhh…jangan nangis Raihan. Dia tak ada. Kau selamat.” Balas Damia sambil memeluk tubuhku lembut. Semakin dipujuk semakin kuat tangisku.

Sungguh! Pelbagai rasa yang sedang berkecamuk. Perasaanku juga tidak stabil.

“Macam mana dia boleh masuk ke rumah kita?” soal Damia. Aku diam sejenak untuk mengimbau kembali ingatanku iaitu sebelum kejadian ngeri tadi berlaku.

“Dia hantar aku balik tadi.” Jawabku perlahan antara dengar dan tidak berserta sendu yang masih lagi menguasai.

“Kenapa dia nak hantar kau balik?”

“Dia takut aku tak jujur dengan dia.”

“Maksud kau? Aku tak faham.”

“Tadi Shazlan kacau aku. Dia pun takutlah kalau-kalau aku menyimpang ke tempat lain kononnya ikut Shazlan tu.”

“Habis tu?”

“Dia follow aku balik. Dia tak nak berganjak selagi aku tak masuk rumah. Bila aku bukak pintu rumah, dia terus tolak aku masuk dan…”

Argh! Ceritaku terhenti di situ. Peristiwa yang baru saja berlaku membuatkan aku ketakutan. Air mata mengalir deras. Umpama anak kecil aku menangis di bahu Damia.

Damia hanya diam tanpa sepatah kata sambil memelukku yang masih lagi menangis. Hanya tangannya yang mengusap belakangku. Apabila aku sudah sedikit tenang barulah dia kembali bersuara.

“Kenapa dia nak buat macam tu kat kau? Aku tak faham. Dia pukul kau teruk sangat sampai pengsan kau dibuatnya. Aku tak puas hati.”

Diam. Masih lagi melayan perasaanku yang bergolak. Rasa sakit hati terlampau kuat ku rasakan tapi dalam masa yang sama aku juga sedih kerana Aryan yang aku sayang sanggup memperlakukan aku sedemikian rupa.

“Dia nak bukti.” Ujarku pendek.

Damia berkerut. “Bukti apa?”

“Dia nak bukti yang aku sayangkan dia dan tak akan tinggalkan dia dan sebab tu la…”

“Sebab tu dia nak tubuh kau?”

Angguk.

“Supaya kau tak lari dari dia.”

Angguk lagi.

“Bodoh punya lelaki!” Marah Damia.

Menangis lagi. Argh! Peritnya hati.

“Nasib baik Faiz ada tadi. Kalau tak mesti kau dah lunyai mamat tu kerjakan. Kalau nak harapkan aku sorang memang tak larat nak belasah dia.” Jelas Damia tanpa ku pinta.

“Faiz?” Oh… rupa-rupanya dia yang datang bersama Damia. Patutlah aku kenal suara tu.

“A’ah… Faiz. Kebetulan kelas aku cancel so aku pun baliklah. Sayup-sayup aku dengar suara kau dari pagar depan tu jadi aku suruhlah Faiz yang bukakan pintu. Rumah jiran sebelah-menyebelah ni kosong. Mungkin masih di tempat kerja agaknya.”

Aku mengangguk lagi. “Mana Faiz?”

“Faiz ada kat luar rumah. Dia tunggu kau sedar.”

“Beritahu dia aku ucapkan terima kasih ek?”

“Jangan risau, aku akan sampaikan ucapan terima kasih kau tu.” balas Damia sambil menguntum senyum.
Sedikit sebanyak tangisanku semakin reda. Ternyata Damia mampu melegakan aku.

“Pergilah tenangkan hati. Ambik wuduk insyaAllah boleh bantu kau tenang.”

Angguk lagi.

“Anyway Raihan, I think you should make a police report about this incident.” Saran Damia sebelum melangkah keluar dari bilik ku. Barangkali pergi menemui Faiz yang masih setia di luar rumah.

Aku terdiam lagi. Polis? Serta-merta aku diterpa oleh rasa tidak sampai hati kerana jauh di sudut hati aku tahu Aryan tidak sedar akan perbuatannya. Semuanya kerana Shazlan. Matanya dikaburi oleh cemburu.

Shazlan? Dialah pencetus segala masalah. Kalau dia tak muncul tadi, mesti hubungan aku dan Aryan dapat diselamatkan. Mesti Aryan tidak akan bertindak seperti binatang. Mesti Aryan tidak akan menyakiti aku. Aryan mesti akan mampu untuk berfikiran rasional. Aryan mesti tidak akan dirasuk dek syaitan kalau bukan kerana Shazlan!

Tapi, bukankah Aryan juga seharusnya mempertahankan aku? Mungkin memang dia yang bersalah. Dia yang tak reti nak kawal perasaan. Dia sepatutnya percayakan aku. Bukannya tuduh aku tanpa henti.

Mungkin Aryan  yang aku kenal sekarang ni adalah dirinya yang sebenar. Mungkin juga selama ni Aryan hanya berpura-pura baik. Barangkali dia bersama aku hanya untuk mendapatkan tubuh aku lalu mengambil kesempatan atas setiap kejadian yang berlaku demi kepentingan diri.

Betul ke ada rasa cinta dalam diri Aryan untuk aku selama ni? Entahlah…perlukah aku melibatkan polis gara-gara kejadian tadi? Aku tak sampai hati. Aku masih sayangkan dia.

Ya! Aku masih sayangkan dia walaupun dia hampir merenggut kehormatanku. Rasa cinta itu masih ada di relung hatiku.

Butakah aku kerana cinta? Gelapkah pandanganku kerana sayang?

Aryan Arqam. Sebuah nama yang cukup istimewa bagiku. Satu-satunya insan yang membolehkan aku jadi diri aku sendiri setiap saat aku bersamanya. Tapi, bagaimana dengan kejadian tadi?

Perlahan-lahan tanganku menyentuh bibir yang terasa pedih. Pantas mataku terpejam rapat. Masih terasa beban tubuh Aryan yang membuatkan aku sukar untuk bernafas. Jelas terasa saat bibirnya menyentuh kasar bibirku yang luka akibat tamparan padunya.

Serta-merta aku tersedu semula. Air mata mengalir lagi. Sedih… aku cukup sedih. Kenapa dia berubah begitu sekali? Kenapa dia sanggup terfikir untuk menodai aku? Bukankah dia sudah berjanji untuk menjaga aku?

Mataku terpejam rapat. Bagaikan ulang tayang segala kejadian yang berlaku menjelma semula dalam kepekatan tanpa cahaya. Puas sudah aku merapatkan pejaman mata agar bayangan tersebut tidak menjelma. Namun, semakin kuat aku mengusir semakin jelas pula gambarannya.

Gambaran tentang kerakusan Aryan yang sebentar tadi jelas perlahan-lahan menghilang. Tiba-tiba gambaran lain pula yang hadir.

Terpampang jelas di ruangan mataku kali pertama aku bertemu Aryan. Satu persatu kenangan berlegar. Saat aku tertenyeh ais krim kesayangan, saat dia mengusik aku supaya bekerja sebagai bibik di rumahnya, saat dia yang tiba-tiba muncul ketika aku menyeru namanya dan banyak lagi kenangan indah yang terselit tawa dan kebahagiaan yang berbeza dari apa yang pernah aku rasa.

Argh! Kenapa perasaanku berbelah bahagi? Aryan yang bersalah kerana tidak tahu mengawal emosi! Tapi kenapa aku masih menyebelahinya? Berakhirkah hubungan ini kerana kesilapan pertamanya?

Raihan, sayangkah engkau pada seorang lelaki yang hampir merampas mahkota kehormatan yang telah engkau jaga sekian lama?

Tidak! Aku bencikan dia. Aku tak nak ada hubungan dengan lelaki itu lagi.

Tapi bagaimana dengan rasa cinta yang masih tersimpan di dasar hati?

Ya! Aku mencintai dia dan aku berharap dia adalah insan yang terakhir dalam hidupku.

Kenapa begitu lemah hati kau menghukum Aryan padahal dia telah menampar malah menumbuk kau sehinggakan kau lemah dan akhirnya pengsan?

Aku…tak tahu! Jangan tanya aku lagi.

Tidakkah engkau khuatir perkara ini akan berulang lagi?

Aku tak tahu! Habis tu apa yang perlu aku lakukan?

Laporkan saja dia kepada pihak yang berkuasa.

Tapi aku tak sampai hati. Aku sayangkan dia.

Sayang? Lebih baik kau hidup sendiri daripada diperlakukan seperti binatang. Kenapa? Engkau masih ingin terus bersamanya?

Tak tahu! Jangan tanya aku lagi!

Suara hati asyik bersahutan. Aku keliru! Aku tak tahu! Terlampau banyak persoalan yang sedang berlegar. Terlampau banyak simpulan yang belum terurai. Aku tidak pasti apa yang aku inginkan.

Aku berperang dengan diriku sendiri. Separuh ingin membela nasib diri namun separuh lagi masih mempertahankan cinta. Argh! Tidak! Apa yang harus aku lakukan? Aku tak tahu. Aku betul-betul tak tahu.

Aku menangis lagi. Tubuhku terasa lemah. Sakit masih terasa akibat pergelutan tadi. Aku tak tahu apa yang harus aku lakukan.  Perlahan-lahan pandanganku semakin malap. Kelopak mata terasa semakin berat dan tanpa dipaksa pandanganku gelap semula.

Tuesday 17 September 2013

Bab 10 (Cinta Ais Krim Vanilla)

BAB 10

“Betul ke apa yang Ayie dengar?” wajah Aryan berkerut-kerut malah 1001 garis halus kelihatan di wajahnya.

“Raihan bukannya sengaja jumpa dia. Kami terserempak. Kalau tak percaya Ayie boleh tanya Mia.”

Sejak tadi soalan yang sama diajukan berulang-ulang kali. Aku pun dah naik muak menjawap soalan yang sama. Kalaulah aku tengah menduduki peperiksaan sekarang ni, mesti aku tak payah susah-susah nak ulang kaji lagi dah sebab aku dah tahu soalan apa yang akan ditanya.

Seketika di hati terdetik juga, sejak bila Aryan Arqam menjadi seorang yang kuat cemburu padahal sebelum ni tak pernah pun dia ragu tentang kesetiaan yang telah aku berikan sejak sekian lama. Hampir memasuki tahun kedua hubungan, nampaknya semakin kuat aura cemburunya.

“I just want to know the truth, Raihan.”

“The truth? Ya ampun, Raihan dah kata kami bukannya berjanji nak jumpa tapi secara tak sengaja hanya terserempak. Penatlah Ayie asyik borak tentang topik yang sama. Dah dekat sejam dah kita borak pasal benda tak munasabah ni.”

“No! I won’t stop until I get the answer.”

“What kind of answer did you waiting for? I already told you! Semua tu bukannya dirancang tapi hanya kebetulan. Ayie faham tak apa yang Raihan cuba jelaskan ni?”

“Ayie tak percaya. Dia tu kekasih gelap Raihan. Mesti pertemuan kalian sudah dirancang dari awal supaya Ayie tak ada bersama Raihan waktu pertemuan tu kan?”

“Enough is enough, Ayie! I don’t get it. Apa dah jadi pada Aryan Arqam yang Raihan pernah kenal? Raihan bercakap tentang perkara yang benar tapi Ayie tuduh Raihan menipu. Habis tu macam mana Raihan nak dapatkan kepercayaan Ayie tu?”

“Macam mana Ayie nak senang-senang percaya? Dia terkejar-kejarkan Raihan dari dulu sampai sekarang. Tak pernah ada henti malah tak pernah tahu bila nak putus asa. Manalah tahu kalau-kalau Raihan cair jugak dengan rayuan bekas kekasih Raihan tu.”

“Ya, memang benar dia terkejar-kejarkan Raihan dari dulu sampai sekarang tapi Raihan tak pernah layan pun! Hanya satu kebetulan berlaku dan Ayie tuduh Raihan cair dengan rayuan dia pulak?”

“Hati perempuan ibarat kerak nasi, Raihan.”

Argh! Penat sudah aku berbahas tapi habisnya tak. Ada ke hati aku ni diibaratkannya kerak nasi? Suka-suka dia nak samakan hati aku dengan kerak nasi. Patutlah buaya darat senang-senang nak makan hati aku dulu. Tapi walaupun hanya kerak nasi tetap berharga tau! Hati Nuraihan ni bukan sebarang hati.  Pengalaman dah jadikan kerak ni terlebih keras. Dijirus guna air lama-lama pun belum tentu boleh cair apatah lagi kalau buaya darat yang sama mendekat.

“Maaflah, Ayie. Raihan dah penat bercakap tentang benda ni. Ayie mesti pernah dengar peribahasa umpama menegakkan benang yang basah, kan? Sekarang ni Ayie tahu tak apa yang Raihan rasa?”

Aryan hanya mengangkat kepalanya.

“Raihan rasa sekarang ni benang yang tak basah pun susah nak tegak. Benda betul dikatanya bohong. Dah dijelaskan berkali-kali tapi tetap nak percaya cerita yang tak betul.”

Satu keluhan berat kedengaran dari mulut Aryan.

“Entahlah, Raihan. Ayie sayang Raihan sangat-sangat.”

“Kalau sayang tolonglah beri kepercayaan tu. Sikit pun jadilah. Aryan sendiri pun tahu kepercayaan terhadap pasangan adalah penting bagi mengelakkan timbulnya pertengkaran yang tak munasabah macam yang sedang kita lalui sekarang ni. Memang benar tak salah jika ragu tapi Raihan nak Ayie tahu perasaan ragu dan tak percaya adalah dua perkara yang berbeza.”

Panjang lebar penerangan yang aku berikan. Nampak gayanya ada bakat jadi doktor cinta ni. Kriteria yang diperlukan memang dah ada iaitu pandai berhujah, hujah yang meyakinkan dan tak melatah bila ditimpa masalah cinta. Hahaha! Merapu je lebih.

“I’m so sorry. I won’t do it again but if I found out those rumors about you and Shazlan are true, I will be your nightmare. That’s my promise.”

Secara tiba-tiba bulu romaku meremang mendengarkan ugutan Aryan. Apatah lagi riak wajahnya yang cukup serius tanpa sebarang garis senyuman membuatkan aku bertambah seram. Oh my god, sejak bila Aryan boleh jadi menyeramkan? Kenapa secara tiba-tiba aku rasa tidak selamat untuk terus bersamanya?

Dari riak wajahnya saja aku sudah dapat merasakan bahawa dia sememangnya memaksudkan ugutannya terhadapku. Tercabarkah dia dengan perangai Shazlan yang sungguh menjengkelkan itu? Tersisip dendamkah dihati Aryan untuk Shazlan?

Aryan yang sedang berada di hadapanku kini seperti bukan Aryan yang aku kenal beberapa tahun yang lalu. Dia bukan lagi Aryan yang selalu tersenyum dan tenang sentiasa. Aryan yang sedang berada di depanku kini adalah Aryan yang sering kehilangan warna-warni sebuah senyuman malah wajahnya pula sentiasa serius.

Ditambah pula dengan kelainannya yang terbaru iaitu terlebih cemburu. Baru seketika aku sudah berasa terancam dan rimas dengan keadaan kami sekarang. Aku bukannya terancam kerana khabar angin yang sedang kencang bertiup dek taufan Barbara tapi aku terancam kerana situasi kami yang tidak stabil sekarang ni memungkinkan aku menjadi mangsa sebuah perhubungan. Perasaan rimas pula terbit bila dia terlampau cemburu. Sesungguhnya aku inginkan Aryanku yang dulu.

Hati oh hati, bersabarlah dikau wahai hati. Berkemungkinan ego Aryan memuncak disebabkan oleh kelakuan Shazlan yang sentiasa menguji kesabaran. Aku hanya mampu memujuk hati dan membuat kesimpulan sendiri dan aku agak pasti bahawa kesimpulan aku mungkin ada benarnya.

“Raihan baliklah dulu. Ayie ada kelas lagi lepas ni. Jumpa nanti.” Ujarnya secara tiba-tiba sebelum melangkah pergi meninggalkan aku tanpa secalit senyuman. Oh tidak, kini aku rasai pahitnya cinta setelah manisnya aku rasa sejak sekian lama!

Argh! Bercelaru kepala aku dibuatnya. Lebih baik aku balik dan makan ais krim vanilla kegemaran aku di rumah. Tambahan pula kelas aku untuk hari ni dah habis. Elok sangatlah kalau aku duduk goyang kaki di rumah sambil tenangkan hati dengan semangkuk besar ais krim putih bersih.

Dalam masa yang sama aku boleh bagi ruang untuk si jantung hati supaya hatinya tenang dan boleh berfikiran waras. Manalah tahu kalau-kalau api cemburunya terpadam sebentar lagi.

Perlahan-lahan aku menapak ke arah skuter merah jambu kesayanganku sejak dulu. Kalau tak ada skuter ni, agak payah aku nak ke sana ke mari. Mana taknya, semua guna teksi. Bukannya tak ada bas, ada tu memang ada tapi hanya bas dari kolej kediaman pelajar ke kampus sahaja. Dah nasib aku memilih untuk tinggal di kawasan luar kolej. Rumah sewa di Taman Malim jadi pilihan aku dan Damia.

Kalau tiada skuter ni terpaksa aku melabur khas buat pemandu teksi mahupun kereta sapu. Sekali-sekala memanglah aku mampu, buat apa aku nak berkira. Dah namanya orang cari rezeki. Kira bagus sangatlah aku melabur untuk mereka, sekurang-kurangnya ada rezeki yang mereka dapat untuk menampung keluarga tapi kalau tiap-tiap hari macam tu tak pasal-pasal poket aku yang kering.

“Hello, sweetie.” Sapa satu suara. Dalam hati mula melahirkan rasa menyampah yang cukup tinggi.

Diam. Hanya itu yang aku lakukan. Malas rasanya mengizinkan anak tekak mengeluarkan sebarang jenis kata-kata kerana aku tahu di penghujungnya nanti aku juga yang sakit hati sebabnya Shazlan ni jenis orang yang tak faham bahasa.

“Kenapa senyap ni? Rindu Lan ke?”

Diam. Lebih baik aku cepat-cepat hidupan skuter aku ni. Alahai, kuncinya pulak mana? Tanganku sibuk mencari kunci di dalam beg tangan sementara dia masih lagi berdiri di hadapan skuterku.

“Kenapa ni sayang? Okay, biar Lan teka. Jangan-jangan Raihan cemburu tengok Lan dengan Effa tak?”

Lantak kau nak cakap apa Shazlan. Aku tengah sibuk cari kunci ni. Mana kunci?

“Cool, darling. Lan akan tinggalkan Effa sebaik saja Raihan balik semula ke pangkuan Lan. Effa hanya akan jadi kenangan. Lagi pula siapa yang nak dengan orang yang tak berpelajaran macam dia tu? SPM pun failed.”

Hah, kunci! Aku dah jumpa. Cepat-cepat aku hidupkan skuter dengan niat ingin segera berlalu tapi dia lebih pantas menghalang laluanku.

Gila! Sikit lagi aku nak terlanggar dia. Apa dia ingat dia tu  macam kucing ke ada sembilan nyawa? Kalau aku tak sempat nak break, memang naya dia. Balik-balik aku juga yang akan dipersalahkan kerana melanggar orang padahal orang lain tak tahu pun yang dia ni jenis manusia yang tak sayangkan nyawa.

“Gila ke? Dah sedia nak mati? Cukup bekalan akhirat dah ke atau dah bosan nak hidup?” luahku tanpa ada sebarang penapis. Geram sungguh dibuatnya!

“Akhirnya, keluar jugak suara buluh perindu. Mahal sungguh suara tu. Susah betul nak dengar suara tu dikeluarkan. Mana tak nya, dari tadi Lan cakap sorang-sorang.”

Alah…lantaklah! Buluh perindu ke laut adalah!

“Dah tu kenapa sibuk nak cakap jugak? Tak nampak ke orang macam tak sudi langsung nak layan?”

“Nampak tapi tu semua tak akan buat Lan putus asa sebab makin Raihan jual mahal semakin tu Lan nak kejar Raihan sampai dapat.”

“Nonsense! Raihan tak sukalah Lan kejar Raihan sana sini. Rimas, lemas, lelah…”

“Tapi Lan suka!”

“Raihan tak suka!”

“Lan suka sangat!”

“Diamlah. Tepi sikit aku nak lalu.”

“Lan sayang Raihan.”

“Orang dah kata tepi, cepatlah ke tepi.”

“Lan tak kan lepaskan Raihan.”

“Tak faham bahasa ke?”

“Lan sayangkan Raihan sangat-sangat.”

“Tak ada makna. Tepi! Jangan nak halang.”

“Tak nak!”

“Menyampahnya!”

“Raihan cakaplah apa saja yang Raihan nak cakap tapi hati Lan tak akan berubah.”

“Effa nak campak mana? Lupa ke ada makwe? Sibuk nak cakap tentang hati.”

“Effa bukan siapa-siapa Lan. Berbeza dengan Raihan.”

“Cepatlah ke tepi. Kenapa halang jalan Raihan ni? Orang ke kanan dia pun ke kanan, orang ke kiri dia pun ke kiri. Nak mampus sangat ke?”

“Lan rela asalkan Lan dapat cinta Raihan semula.”

Oh tidak! Kenapa dengan budak ni? Ada wayar yang terputus ke? Apa yang ada pada aku sampaikan dia terlalu obsess pada  seorang gadis biasa macam aku ni?

Aku bukannya gadis semasa macam lagu Yuna tu. Aku hanyalah gadis biasa.  Aku ulangi isi berita bahawasanya aku hanyalah gadis biasa. Tiada yang luar biasa.

“Raihan!” laung satu suara dari belakang. Serta-merta aku menoleh dan apa yang aku lihat hanyalah seraut wajah bengis tanpa secalit senyuman malah riak wajahnya cukup serius dan menakutkan.


Aduhai nasib…kenapa aku rasa masalah lain akan datang bergolek ke arah aku sebaik sahaja melihatkan reaksi yang ditunjukkan oleh si pemilik wajah yang jelas menunjukkan rasa tidak puas hati. Aku juga cukup yakin dan pasti syak wasangka yang baru saja reda akan diletuskan semula oleh Aryan Arqam yang tersayang itu.