Tuesday, 17 September 2013

Bab 10 (Cinta Ais Krim Vanilla)

BAB 10

“Betul ke apa yang Ayie dengar?” wajah Aryan berkerut-kerut malah 1001 garis halus kelihatan di wajahnya.

“Raihan bukannya sengaja jumpa dia. Kami terserempak. Kalau tak percaya Ayie boleh tanya Mia.”

Sejak tadi soalan yang sama diajukan berulang-ulang kali. Aku pun dah naik muak menjawap soalan yang sama. Kalaulah aku tengah menduduki peperiksaan sekarang ni, mesti aku tak payah susah-susah nak ulang kaji lagi dah sebab aku dah tahu soalan apa yang akan ditanya.

Seketika di hati terdetik juga, sejak bila Aryan Arqam menjadi seorang yang kuat cemburu padahal sebelum ni tak pernah pun dia ragu tentang kesetiaan yang telah aku berikan sejak sekian lama. Hampir memasuki tahun kedua hubungan, nampaknya semakin kuat aura cemburunya.

“I just want to know the truth, Raihan.”

“The truth? Ya ampun, Raihan dah kata kami bukannya berjanji nak jumpa tapi secara tak sengaja hanya terserempak. Penatlah Ayie asyik borak tentang topik yang sama. Dah dekat sejam dah kita borak pasal benda tak munasabah ni.”

“No! I won’t stop until I get the answer.”

“What kind of answer did you waiting for? I already told you! Semua tu bukannya dirancang tapi hanya kebetulan. Ayie faham tak apa yang Raihan cuba jelaskan ni?”

“Ayie tak percaya. Dia tu kekasih gelap Raihan. Mesti pertemuan kalian sudah dirancang dari awal supaya Ayie tak ada bersama Raihan waktu pertemuan tu kan?”

“Enough is enough, Ayie! I don’t get it. Apa dah jadi pada Aryan Arqam yang Raihan pernah kenal? Raihan bercakap tentang perkara yang benar tapi Ayie tuduh Raihan menipu. Habis tu macam mana Raihan nak dapatkan kepercayaan Ayie tu?”

“Macam mana Ayie nak senang-senang percaya? Dia terkejar-kejarkan Raihan dari dulu sampai sekarang. Tak pernah ada henti malah tak pernah tahu bila nak putus asa. Manalah tahu kalau-kalau Raihan cair jugak dengan rayuan bekas kekasih Raihan tu.”

“Ya, memang benar dia terkejar-kejarkan Raihan dari dulu sampai sekarang tapi Raihan tak pernah layan pun! Hanya satu kebetulan berlaku dan Ayie tuduh Raihan cair dengan rayuan dia pulak?”

“Hati perempuan ibarat kerak nasi, Raihan.”

Argh! Penat sudah aku berbahas tapi habisnya tak. Ada ke hati aku ni diibaratkannya kerak nasi? Suka-suka dia nak samakan hati aku dengan kerak nasi. Patutlah buaya darat senang-senang nak makan hati aku dulu. Tapi walaupun hanya kerak nasi tetap berharga tau! Hati Nuraihan ni bukan sebarang hati.  Pengalaman dah jadikan kerak ni terlebih keras. Dijirus guna air lama-lama pun belum tentu boleh cair apatah lagi kalau buaya darat yang sama mendekat.

“Maaflah, Ayie. Raihan dah penat bercakap tentang benda ni. Ayie mesti pernah dengar peribahasa umpama menegakkan benang yang basah, kan? Sekarang ni Ayie tahu tak apa yang Raihan rasa?”

Aryan hanya mengangkat kepalanya.

“Raihan rasa sekarang ni benang yang tak basah pun susah nak tegak. Benda betul dikatanya bohong. Dah dijelaskan berkali-kali tapi tetap nak percaya cerita yang tak betul.”

Satu keluhan berat kedengaran dari mulut Aryan.

“Entahlah, Raihan. Ayie sayang Raihan sangat-sangat.”

“Kalau sayang tolonglah beri kepercayaan tu. Sikit pun jadilah. Aryan sendiri pun tahu kepercayaan terhadap pasangan adalah penting bagi mengelakkan timbulnya pertengkaran yang tak munasabah macam yang sedang kita lalui sekarang ni. Memang benar tak salah jika ragu tapi Raihan nak Ayie tahu perasaan ragu dan tak percaya adalah dua perkara yang berbeza.”

Panjang lebar penerangan yang aku berikan. Nampak gayanya ada bakat jadi doktor cinta ni. Kriteria yang diperlukan memang dah ada iaitu pandai berhujah, hujah yang meyakinkan dan tak melatah bila ditimpa masalah cinta. Hahaha! Merapu je lebih.

“I’m so sorry. I won’t do it again but if I found out those rumors about you and Shazlan are true, I will be your nightmare. That’s my promise.”

Secara tiba-tiba bulu romaku meremang mendengarkan ugutan Aryan. Apatah lagi riak wajahnya yang cukup serius tanpa sebarang garis senyuman membuatkan aku bertambah seram. Oh my god, sejak bila Aryan boleh jadi menyeramkan? Kenapa secara tiba-tiba aku rasa tidak selamat untuk terus bersamanya?

Dari riak wajahnya saja aku sudah dapat merasakan bahawa dia sememangnya memaksudkan ugutannya terhadapku. Tercabarkah dia dengan perangai Shazlan yang sungguh menjengkelkan itu? Tersisip dendamkah dihati Aryan untuk Shazlan?

Aryan yang sedang berada di hadapanku kini seperti bukan Aryan yang aku kenal beberapa tahun yang lalu. Dia bukan lagi Aryan yang selalu tersenyum dan tenang sentiasa. Aryan yang sedang berada di depanku kini adalah Aryan yang sering kehilangan warna-warni sebuah senyuman malah wajahnya pula sentiasa serius.

Ditambah pula dengan kelainannya yang terbaru iaitu terlebih cemburu. Baru seketika aku sudah berasa terancam dan rimas dengan keadaan kami sekarang. Aku bukannya terancam kerana khabar angin yang sedang kencang bertiup dek taufan Barbara tapi aku terancam kerana situasi kami yang tidak stabil sekarang ni memungkinkan aku menjadi mangsa sebuah perhubungan. Perasaan rimas pula terbit bila dia terlampau cemburu. Sesungguhnya aku inginkan Aryanku yang dulu.

Hati oh hati, bersabarlah dikau wahai hati. Berkemungkinan ego Aryan memuncak disebabkan oleh kelakuan Shazlan yang sentiasa menguji kesabaran. Aku hanya mampu memujuk hati dan membuat kesimpulan sendiri dan aku agak pasti bahawa kesimpulan aku mungkin ada benarnya.

“Raihan baliklah dulu. Ayie ada kelas lagi lepas ni. Jumpa nanti.” Ujarnya secara tiba-tiba sebelum melangkah pergi meninggalkan aku tanpa secalit senyuman. Oh tidak, kini aku rasai pahitnya cinta setelah manisnya aku rasa sejak sekian lama!

Argh! Bercelaru kepala aku dibuatnya. Lebih baik aku balik dan makan ais krim vanilla kegemaran aku di rumah. Tambahan pula kelas aku untuk hari ni dah habis. Elok sangatlah kalau aku duduk goyang kaki di rumah sambil tenangkan hati dengan semangkuk besar ais krim putih bersih.

Dalam masa yang sama aku boleh bagi ruang untuk si jantung hati supaya hatinya tenang dan boleh berfikiran waras. Manalah tahu kalau-kalau api cemburunya terpadam sebentar lagi.

Perlahan-lahan aku menapak ke arah skuter merah jambu kesayanganku sejak dulu. Kalau tak ada skuter ni, agak payah aku nak ke sana ke mari. Mana taknya, semua guna teksi. Bukannya tak ada bas, ada tu memang ada tapi hanya bas dari kolej kediaman pelajar ke kampus sahaja. Dah nasib aku memilih untuk tinggal di kawasan luar kolej. Rumah sewa di Taman Malim jadi pilihan aku dan Damia.

Kalau tiada skuter ni terpaksa aku melabur khas buat pemandu teksi mahupun kereta sapu. Sekali-sekala memanglah aku mampu, buat apa aku nak berkira. Dah namanya orang cari rezeki. Kira bagus sangatlah aku melabur untuk mereka, sekurang-kurangnya ada rezeki yang mereka dapat untuk menampung keluarga tapi kalau tiap-tiap hari macam tu tak pasal-pasal poket aku yang kering.

“Hello, sweetie.” Sapa satu suara. Dalam hati mula melahirkan rasa menyampah yang cukup tinggi.

Diam. Hanya itu yang aku lakukan. Malas rasanya mengizinkan anak tekak mengeluarkan sebarang jenis kata-kata kerana aku tahu di penghujungnya nanti aku juga yang sakit hati sebabnya Shazlan ni jenis orang yang tak faham bahasa.

“Kenapa senyap ni? Rindu Lan ke?”

Diam. Lebih baik aku cepat-cepat hidupan skuter aku ni. Alahai, kuncinya pulak mana? Tanganku sibuk mencari kunci di dalam beg tangan sementara dia masih lagi berdiri di hadapan skuterku.

“Kenapa ni sayang? Okay, biar Lan teka. Jangan-jangan Raihan cemburu tengok Lan dengan Effa tak?”

Lantak kau nak cakap apa Shazlan. Aku tengah sibuk cari kunci ni. Mana kunci?

“Cool, darling. Lan akan tinggalkan Effa sebaik saja Raihan balik semula ke pangkuan Lan. Effa hanya akan jadi kenangan. Lagi pula siapa yang nak dengan orang yang tak berpelajaran macam dia tu? SPM pun failed.”

Hah, kunci! Aku dah jumpa. Cepat-cepat aku hidupkan skuter dengan niat ingin segera berlalu tapi dia lebih pantas menghalang laluanku.

Gila! Sikit lagi aku nak terlanggar dia. Apa dia ingat dia tu  macam kucing ke ada sembilan nyawa? Kalau aku tak sempat nak break, memang naya dia. Balik-balik aku juga yang akan dipersalahkan kerana melanggar orang padahal orang lain tak tahu pun yang dia ni jenis manusia yang tak sayangkan nyawa.

“Gila ke? Dah sedia nak mati? Cukup bekalan akhirat dah ke atau dah bosan nak hidup?” luahku tanpa ada sebarang penapis. Geram sungguh dibuatnya!

“Akhirnya, keluar jugak suara buluh perindu. Mahal sungguh suara tu. Susah betul nak dengar suara tu dikeluarkan. Mana tak nya, dari tadi Lan cakap sorang-sorang.”

Alah…lantaklah! Buluh perindu ke laut adalah!

“Dah tu kenapa sibuk nak cakap jugak? Tak nampak ke orang macam tak sudi langsung nak layan?”

“Nampak tapi tu semua tak akan buat Lan putus asa sebab makin Raihan jual mahal semakin tu Lan nak kejar Raihan sampai dapat.”

“Nonsense! Raihan tak sukalah Lan kejar Raihan sana sini. Rimas, lemas, lelah…”

“Tapi Lan suka!”

“Raihan tak suka!”

“Lan suka sangat!”

“Diamlah. Tepi sikit aku nak lalu.”

“Lan sayang Raihan.”

“Orang dah kata tepi, cepatlah ke tepi.”

“Lan tak kan lepaskan Raihan.”

“Tak faham bahasa ke?”

“Lan sayangkan Raihan sangat-sangat.”

“Tak ada makna. Tepi! Jangan nak halang.”

“Tak nak!”

“Menyampahnya!”

“Raihan cakaplah apa saja yang Raihan nak cakap tapi hati Lan tak akan berubah.”

“Effa nak campak mana? Lupa ke ada makwe? Sibuk nak cakap tentang hati.”

“Effa bukan siapa-siapa Lan. Berbeza dengan Raihan.”

“Cepatlah ke tepi. Kenapa halang jalan Raihan ni? Orang ke kanan dia pun ke kanan, orang ke kiri dia pun ke kiri. Nak mampus sangat ke?”

“Lan rela asalkan Lan dapat cinta Raihan semula.”

Oh tidak! Kenapa dengan budak ni? Ada wayar yang terputus ke? Apa yang ada pada aku sampaikan dia terlalu obsess pada  seorang gadis biasa macam aku ni?

Aku bukannya gadis semasa macam lagu Yuna tu. Aku hanyalah gadis biasa.  Aku ulangi isi berita bahawasanya aku hanyalah gadis biasa. Tiada yang luar biasa.

“Raihan!” laung satu suara dari belakang. Serta-merta aku menoleh dan apa yang aku lihat hanyalah seraut wajah bengis tanpa secalit senyuman malah riak wajahnya cukup serius dan menakutkan.


Aduhai nasib…kenapa aku rasa masalah lain akan datang bergolek ke arah aku sebaik sahaja melihatkan reaksi yang ditunjukkan oleh si pemilik wajah yang jelas menunjukkan rasa tidak puas hati. Aku juga cukup yakin dan pasti syak wasangka yang baru saja reda akan diletuskan semula oleh Aryan Arqam yang tersayang itu.


No comments:

Post a Comment