Tuesday 18 March 2014

Bab 12 (Cinta Ais Krim Vanilla)

BAB 12

Sudah hampir seminggu hubungan aku dan Aryan hambar malah sepanjang tempoh itu juga aku tidak bersua muka dengannya. Berhubung dengan dia pun aku tak. Hubungan kami bagaikan tergantung tanpa sebarang keputusan.

Handphone aku yang selama ini berlagu tepat pada jam 10 setiap malam juga sudah berhenti dari rutinnya. Tiada lagi alunan lagu yang mengasikkan. Pesanan ringkas yang selama ini berdozen-dozen aku terima dari dia pun sudah tiada.

Semuanya  berubah sejak kejadian itu. Aku juga sudah hampir seminggu tidak turun kuliah gara-gara lebam yang jelas kelihatan di seluruh tubuhku tapi aku sertakan bersama surat MC dari doktor.

Alasanku cedera kerana kemalangan. Terima kasih kepada Faiz sebab tolong fikirkan alasan yang munasabah tu. Doktor pun percayakan alasan tersebut apatah lagi dengan kecederaan fizikalku yang agak teruk.

Kami terpaksa menipu gara-gara tidak mahu terjadinya sebarang gosip liar atau apa-apa saja yang seangkatan dengannya. Aku yakin pelbagai jenis spekulasi akan wujud sekiranya kejadian tersebut disebarkan malah aku juga cukup yakin mesti ada yang akan ditokok-tambah seolah-olah mereka ada di tempat kejadian.

Aku hanya ingin berdiam diri mengenai kejadian yang menimpaku kerana dengan cara ini aku lebih mudah untuk melupakan semuanya. Puas sudah Damia memujuk untuk melaporkan kejadian tersebut namun aku masih tidak sampai hati. Aryan juga sudah senyap tanpa sebarang berita. Aku juga tidak mahu memperbesarkan hal ini. Biarlah semuanya berlalu umpama ditiup angin bayu.

Shawl hijau daun pisang sudah pun terlilit kemas. Sekali lagi aku membelek wajah bagi memastikan kesan lebam yang membiru itu tersembunyi disebalik make up.

“Kau betul-betul dah sedia nak turun kuliah ke?”

Tiba-tiba Damia menjenguk dari pintu bilik memerhatikan gelagat ku yang masih cuba untuk menutup kesan lebam tersebut.

“MC kau ada lagi sisa dua hari kan?” Damia bertanya lagi.

“Aku tak nak banyak sangat ketinggalanlah, Mia.” Balasku pendek.

“Dua hari lagi kau turunlah kuliah. Aku yakin dalam tempoh tu lebam kau pasti okay!”

“Tak apalah, Mia. Kelas aku hari ni pun empat jam je. Bukannya lama pun.”

“Empat jam bukannya sekejap. Apa aku nak buat? Alaa…kau turun kuliah esok jelah. Hari ni aku tak ada kuliah. Kang bosan pulak terbongkang sorang-sorang.”

Aku memandang Damia yang sudah pun memuncungkan mulut ala-ala Donald Duck. Alahai Damia, macam budak-budaklah!

“Haaa, apa kata kalau kau masak? Aku dah lama tak makan masakan kau. Nanti aku balik kita makan sama-sama.”

Brilliant tak idea aku? Ini untuk kepentingan bersama tau! Dia tak bosan dan aku balik terus boleh makan. Wahh, mendatangkan manfaat sungguh! Betul tak?

“Idea ni macam tak berapa nak best. Seolah-olah keuntungannya lebih untuk kau je?”

“Itu pun nak berkira ke? Katanya kawan baik?”

“Baiklah, saudari. Saya dengan senang hati tanpa paksaan akan melaksanakan idea bernas saudari tu dengan seberapa ikhlas yang boleh. Saya berikrar akan menjadi tukang masak yang berwawasan.”

Tersengih panjang aku mendengarnya. Hahaha! Terima kasih Damia sebab berjaya menghiburkan hati aku ni. Aku betul-betul menghargainya kawan.

Aku mula mengorak langkah diikuti oleh Damia yang turut membuntuti langkah kaki ku yang menghala ke rak kasut.

“Engkau ni kenapa, Mia? Asyik ikut aku ke sana ke mari ni?”

“Tak tahu. Aku rasa macam nak terus ikut kau. Hmm…Raihan, kau tak payah turun kuliah hari ni ek? Temankan aku…”

“Aku dah bersiap cantik-cantik ni kau nak suruh aku batalkan niat suci dan murni aku ni pulak ke?”

“Eleh…suci murni konon! Dah macam iklan minyak masak dah aku tengok.”

“Haha! Mungkin sebab aku ni memang sesuai jadi model iklan kot.”

Terkekeh Damia ketawa mendengarkan kenyataan yang aku berikan. Kenyataan yang berbaur tahap perasan yang sangat tinggi.

“Sudahlah! Kalau aku asyik layan kau, tak pasal-pasal aku lambat. See you soon, Mia. I love you! Assalammualaikum…”

Vrooom! Aku terus memecut meninggalkan Damia yang masih melambaikan tangannya. Timbul pulak rasa kesian tengok dia sorang-sorang tapi tak apalah. Aku janji aku akan balik awal. Tunggu aku balik ya, Damia?

“Class, don’t forget to finish up your assignment before the deadline. I don’t want to hear any excuses. There will be no mercy!”

Mr. Seva sempat memberikan pesanannya yang terakhir sebelum kelas bersurai. Lega rasanya tugasan yang diberikan oleh Mr. Seva telah aku siapkan dua hari lepas. Tak payah aku nak risau kot takut-takut tak sempat siap sebelum tarikh akhir.

“Raihan!”

Oh tidak! Suara itu lagi! Secara automatik kakiku melangkah laju. Tiba-tiba masuk gear lima terus!

“Tunggu Lan!”

Hah? Tunggu dia? Buat apa? Tu namanya serah diri untuk dijadikan santapan sang buaya. Opps! Tiba-tiba tanganku direntapnya. Tanpa kawalan tubuhku menjadi tidak stabil. Hampir saja aku jatuh terlentang tapi aku bernasib baik. Aku tersandar di dada bidang sang buaya. Cepat-cepat aku stabilkan tubuh yang tadinya hilang keseimbangan.

“Raihan, betul ke Raihan kemalangan? Raihan tak apa-apa, kan? Tak ada yang patah, kan? Tulang-temulang semua tu elok lagi, kan?”

Habis seluruh tubuhku dibeleknya. Dah macam orang belek pakaian untuk dibeli je gayanya.

“Tulang rusuk patah semua. Tulang kaki patah empat. Tulang dada retak seribu. Tangan pulak hampir tercabut.”

Kelihatan wajahnya berkerut-kerut mendengarkan jawabanku. Sekali lagi aku dibeleknya dari hujung tudung sampailah hujung sepatu.

“Tapi Lan tengok Raihan elok je? Tak ada yang patahnya pun?”

“Hah! Tak buta rupanya.” Jawapan yang aku berikan membuatkan Shazlan kelihatan tersentak. Reaksi wajahnya menyatakan bahawa dia betul-betul tersentap dengan jawapan yang aku berikan. Alamak, timbul pulak rasa kesian.

“Baguslah. Hati-hati balik jangan accident lagi.” Sebaik sahaja selesai menutur kata, Shazlan terus berlalu meninggalkan aku. Tanpa dipaksa aku diserang rasa bersalah yang teramat sangat!

“Raihan, lain kali hati-hatilah sikit. Kenapa cuai sangat ni?” Shazlan terus-terusan membebel. Sepatah perkataan pun aku tak sempat nak mencelah.

“Jangan buat dada Lan sakit macam ni. Jantung Lan ni dah rasa macam nak terkeluar dah!”

“Maaflah…Raihan bukannya sengaja pun.”

“Lan tahulah Raihan tak sengaja tapi semua ni jadi sebab Raihan yang cuai sangat.”

“Tapi Raihan cuma calar sikit bukannya luka berdarah pun. Kenapa Lan nak bebel lama-lama?”

Shazlan menatap wajahku dengan penuh serius. Alamak, kecut pulak aku dibuatnya. Sekacak mana pun Shazlan bila dia dah serius macam ni, takut jugak aku dibuatnya.

“Raihan, kalau kereta tadi tu laju tak fasal-fasal Raihan boleh jadi penghuni hospital, tahu tak? Tu pun kalau selamat! Kalau tak mesti Lan dah hilang Raihan. Tak kan risiko sebesar tu pun Raihan tak tahu? Tentang keselamatan ni jangan main-main boleh tak? Seriuslah sikit. Benda macam ni bukannya perkara remeh. Boleh naya tahu tak?”

Aku terdiam. Otakku bagaikan baru berfungsi. Dalam diam aku mengiakan kata-kata Shazlan. Perlahan-lahan mataku menatap motosikal milik ayah yang agak teruk selepas kemalangan tadi tu. Shazlan benar, aku hanyalah bernasib baik. Risiko aku untuk menjadi penghuni hospital memang cukup besar malah risiko nak jadi arwah pun boleh tahan besarnya!

Secara tiba-tiba aku menjadi sebak. Dadaku terasa sakit walaupun hanya telingaku yang menadah setiap ucapan Shazlan. Aku sedih! Aku dah buatkan Lan risau. Aku dah buatkan Lan membebel dan yang  paling penting aku dah buatkan Lan marahkan aku. Tersentap hatiku yang penuh bunga! Tanpa dipinta air mata pun jatuh.

“Ya Allah, kenapa Raihan nangis? Lan teruk sangat ke marah Raihan? Lan minta maaf. Lan tak reti nak kawal rasa risau ni sampaikan bertukar jadi amarah pulak. Raihan, jangan nangis. Lan minta maaf ni…”

Shazlan kelihatan semakin risau. Puas sudah dia cuba memujukku tapi aku masih lagi menangis. Aku sendiri pun tak tahu apa sebabnya tapi yang aku tahu hati ini terlampau sedih!

“Raihan janji tak bawak motosikal laju-laju dah. Lan jangan risau. Raihan janji…” ujarku dalam sendu yang masih lagi menguasai diri.

Sejenak Shazlan tersenyum manis. Ahh, kacaknya! Air mataku dikesatnya perlahan.

“Dah, tak mahu nangis dah. Jom Lan belanja ais krim. Depan sana tu ada orang jual ais krim sambil tu bolehlah Lan hantar Raihan balik rumah terus. Motosikal ayah tu biar Lan yang uruskan.”

Ais krim? Aku tersenyum walaupun masih kelat. Shazlan membalas senyumanku dengan lembut membuatkan aku semakin tenang.

“PINNNNN!!!” bunyi hon yang berpanjangan membuatkan aku tersentak dari lamunan. Eh? Bila masa pulak aku dah sampai traffic light ni? Bukankah tadi aku masih lagi di kampus?

Astaga! Cepat-cepat aku memulas skuter kesayangan sebelum lampu bertukar merah semula. Aku seakan-akan baru kembali ke dunia realiti. Hati kecil mula tertanya-tanya kenapa aku secara tiba-tiba boleh teringat semula tentang kisah antara aku dan Shazlan? Bukankah sebelum ni aku sendiri pernah kata aku tak akan ingat tentang semua kisah cinta monyet tu? Kenapa dengan aku ni?

Perjalanan dari kampus ke rumah pun tak terasa. Aku dah macam orang yang dalam keadaan separuh sedar. Sekejap-sekejap fikiranku dah menerawang mengingatkan kisah lama. Tak lama lepas tu aku kembali semula ke alam nyata. Mungkin rasa bersalah tadi yang membuatkan aku jadi begini. Nampak gayanya aku kena minta maaf dengan Shazlan.

Apa yang penting sekarang ni aku dah sampai ke rumah sewa aku yang tersayang. Tak sabar rasanya nak rasa masakan Damia. Tadi sebelum aku pergi kuliah aku dah mintak dia masak sedap-sedap. Agak-agaknya apalah yang dia masak untuk aku?

“Assalam…” serta-merta aku terdiam. Salam yang hendak ku ucap pun tergendala. Terkejut aku melihatkan keadaan rumah yang bersepah. Susunan perobot juga beralih. Apa yang dah jadi ni?

Kakiku mula menggeletar. Teringat semula peristiwa hitam yang berlaku minggu lepas. Peristiwa yang hampir merenggut mahkota berharga.

Mia? Mana Damia? Mataku mula meliar ke kiri dan ke kanan. Tiada langsung kelibat Damia yang kelihatan. Kakiku mula mengorak langkah ke dapur dengan harapan Damia ada di situ tapi tiada.

Air mata mula mengalir. Rasa takut dan trauma mula menjalar. Akhirnya aku terduduk dan terus menangis. Mulutku masih lagi memanggil nama Damia namun semakin perlahan dan perlahan kerana akhirnya aku tenggelam dalam tangisanku sendiri.

Aku takut kalau ada sesuatu yang berlaku terhadap Damia. Aku takut sangat! Aku sayangkan dia. Aku tak nak dia diapa-apakan. Mia, mana kau?

“Raihan, bila balik? Aku tak sedar kau balik.” Tiba-tiba gelombang suara Damia berkumandang lantas menarik perhatianku untuk memandang ke arah punca suara. Ku lihat Damia masih mampu berdiri, masih mampu bergerak, tiada luka mahupun calar tapi…aku dapat mengesan ada riak sedih di wajah itu.

“Kau kenapa, Mia? Kau nangis? Kenapa rumah bersepah macam ni? Apa yang dah terjadi?” Soalan demi soalan aku utarakan menyebabkan Damia tak sempat memberikan jawaban. Aku terus-terusan mengasaknya dengan soalan yang lain padahal soalan yang awal tadi aku ajukan pun masih tidak terjawab.

“Aku…gaduh dengan Faiz.”

Aku tercengang. Manakan tidak, sebelum ni pernah juga dia berperang dengan Faiz tu tapi tak pernah pulak sampai perabot rumah tunggang-langgang macam ni. Serta-merta air mata yang tadinya jatuh membasahi pipi ku usir.

Lantas aku berlari ke arahnya dan memeluknya erat. Aku risau! Sungguh aku benar-benar risau kerana takut Aryan akan “mengerjakan” Damia pulak selepas kempunankan aku. Tiba-tiba aku teringat lagi pada ayat yang Aryan pernah muntahkan sebelum ini.

“If I found out those rumors about you and Shazlan is true, I will be your nightmare. That’s my promise.”

Tak semena-mena bulu tengkuk menegak pada 90 darjah. Seram! Tanpa disangka pelukan aku terhadap Damia menjadi terlebih kuat.

“Raihan, kau ni kenapa? Jangan risau, aku okay. Jom tolong aku masak.” Ujar Damia seraya melepaskan pelukanku yang terlebih kuat.

“Aku risaukan kau, Damia.” Ujarku jujur. Sungguh ayat yang pernah dimuntahkan oleh Aryan membuatkan aku benar-benar seriau!

“Tak payah risau tak bertempat, Raihan. Kau sendiri tengok aku boleh berjalan macam biasa, bercakap macam biasa dan semuanya macam biasa, kan?”

“Memanglah! Tapi ada kelainan pada wajah kau.”

“Sudahlah, Raihan. Tak payah nak jadi dukun. Meh jadi pembantu tukang masak lagi elok!” balas Damia seraya berlalu ke peti sejuk.

Aku hanya termangu. Aku yakin ada sesuatu yang berlaku tapi aku tak tahu apa. Tak apalah. Mungkin betul apa yang Damia katakan. Barangkali aku yang terlebih fikir, risau tak bertempat padahal dia elok-elok saja.

Aku melabuhkan pandang ke arah ruang tamu rumah yang berselerak. Kalau benarlah Damia gaduh dengan Faiz sampai macam ni, aku yakin pergaduhannya mesti besar!

No comments:

Post a Comment